Followers

A Phase of Silence

Me before you.
Me after you.

Both are different.

Me after your new phases. 
Me after that.

Totally different!

But whenever happened, the love stories and our friendship will not lasting forever. Hope so.

Saya sayang kamu. Ya. Kamu yang membaca post ini duhai sahabat kesayangan 😭😭😭😭😭


Ramadhan Exit

Ramadhan semakin berlalu. Setiap kali Ramadhan pasti akan ada cerita. Kadang-kadang ketika saya terlalu berfikir negatif, Ramadhan ini dinantikan semua orang beriman, tapi saya sebaliknya. Selalu ada 'masalah' di bulan Ramadhan menyebabkan saya 'takut' melalui Ramadhan. Saya takut kerana saya sentiasa gagal. Dan Ramadhan berlalu pergi.....begitu sahaja...

Saya selalu berfikir, puasa saya saban tahun tidak membuahkan hasil baik, yakni dalam kata yang tepat, ianya tidak menjadi amalan yang baik dan diterima oleh Allah. Segala amalan yang lain (buat sekadarnya) pun tidak menjadikan saya orang yang baik. 

Mungkin masin mulut orang. Dan diucapkan pula pada bulan Ramadhan. Saya harap kelak saya tidak jadi orang tua yang tidak sedar diri. Kalaupun tidak sempat tua, saya harap saya jadi orang muda yang tidak durhaka.

Ramadhan exit ; ramadhan akan berlalu pergi atau saya yang telah terkeluar dari madrasah ramadhan? 

Apa-apa pun, pada malam ini, saya hampir pasti tekad dengan keputusan saya. Saya mahu keluar dari daerah kezaliman manusia dayus. Saya mahu mencari arah baru. Seorang diri. 

Pertarungan ini pertarungan diri. Saya mahu mencari kekuatan diri. Apabila sudah menjadi mukmin sejati (ikhlas, sabar, redha, syukur dll), saya kembali. 

Moga saya tidak mati dalam durhaka biarpun selalu menjadi penderhaka.

~Ujian kesusahan dan nikmat selalu datang silih berganti kerana Allah mahu melihatkan adakah kita sabar dan syukur.

Sufiana 
23 Ramadhan 1437
2.30 am


Ujian Untuk Semua

Ada ujian yang mendatang, terkena pada susuk tubuh kita sahaja. Hanya kita. Tidak melibatkan keluarga. Penyelesaiannya pun boleh diselesaikan tanpa pengetahuan keluarga ataupun tanpa perlu menyusahkan hati ahli keluarga terutama Ma. Banyak benda memang kami adik beradik selalu menyelesaikan masalah sendiri. Hal besar pun kadang-kadang tidak diperbesarkan dan berjaya diselesaikan. Hal kecik apatah lagi, tidak sama sekali akan diperbesarkan. Itulah kami adik beradik. Jiwa besar. Jiwa kental. Tidak manja. Kami sentiasa kuat!

Tapi ada ujian datang untuk keseluruhan ahli keluarga, terutama sekali menjadi dugaan hebat buat Ma. Hati mana tidak terguris melihat Ma menangis. Dulu saya selalu lihat Ma menangis, tapi Ma kuat. Sekarang apabila saya lihat Ma menangis, Ma akan lemah. Tua telah meragut kekuatannya. Tidurnya pasti tak akan lena. Makannya tak lalu.

Ada satu hari, Ma jadi doktor sendiri. Ma check tekanan darahnya menggunakan alat mesin Blood Pressure tu. Tapi bateri alat itu kehabisan.

Saya tau Ma pening walaupun dia menafikan. Memang menyakitkan terpaksa melalui semua ini.

Saya pun banyak menghabiskan masa untuk tidur sahaja.  Saya simpan sahaja perasaan tertekan dengan tidur dan tidur. Ramadhan kali ni memang saya sia-siakan. 

Ramadhan kali ini tidak 'mampu' nak bukak al quran untuk membacanya, apatah lagi untuk tadabbur. Malam ni malam ke 21 Ramadhan. Saya tidak tahu apa yang telah saya buat. 

Ujian ini saya tidak lulus.

Bagaimana saya mahu keluar dari Ramadhan dengan mendapat keampunan dan menjadi hamba yang bertaqwa. Buntu. 

Kenapa tiada motivasi dengan kebaikan beribu bulan itu? Saya buntu.

"Tuhan, berikan kami kekuatan. Tuhan yang maha mengampuni, ampuni dosa-dosa ku dan ahli keluargaku."

Belajar Terima

Sudah hampir setahun. Sangat sukar untuk melupakan. Saya tidak tahu bagaimana untuk mengawal rasa di hati ini. Sangat sedih. Kecewa. Itu yang saya rasa. Almost all the time. Kalaulah saya lebih ingat mati dan bersedia menghadapi mati, kan lebih baik. Kalau.

Apa pun saya bersyukur kerana telah berjaya merempuh saat-saat sukar pada permulaannya. Sekarang saya masih sedang berusaha dan cuba untuk menyembuhkan, tapi ternyata ianya liat sekali.

Lantas teringat, tika kita lemah, hanya Allah yang menguatkan. Jesteru, panjatkan doa memohon kekuatan dariNya. Tuhan Mendengar dan sentiasa akan mendengar.

"Tuhan, aku buntu. Kasihani aku ya Allah dan berikan aku petunjuk"

Al Quran Membahagiakan, Tapi Sering Ditinggalkan

Kebahagiaan pada membaca al-Quran 

Duhai diri, Al quran itu mendatangkan bahagia! Yakinlah!

Allah Ta’ala berfirman :

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَنْ تَبُورَ

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi. (Faathir : 29)

مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Al Qur’an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. (Yusuf : 111)

# Pada al-Quran ada ubat, kebahagiaan dan penawar hati yang menghilangkan resah dan gelisah. Menghidupkan hati yang mati dan mengubati jiwa yang sakit dan menderita!

13 Ramadhan 1437

Tuhan mendatangkan bulan yang penuh kerahmatan kepada kita hambaNya. Bulan tanpa hasutan syaitan. Hanya Hamba dan Tuhan. 

Sentiasa Hamba dan Tuhan. Kita sahaja yang selalu memilih jalan komplikated menuju Tuhan, menyebabkan wujud 'tuhan' lain dalam hidup kita. 

Manusia selalu bertuhankan nafsu. Pertempuran menundukkan hawa nafsu ialah peperangan yang panjang. Ianya sukar ditundukkan dan tak mungkin sama sekali menyerah tanpa perlawanan. 

Firman Allah SWT ;

 إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ 
"Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengajak ke arah kejahatan..." (Yusuf: 53)

Imam Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah (wafat 795 hijrah) mengatakan;

إنّ جميع المعاصي تنشأ من تقديم هوى النّفوس على محبّة اللّه ورسوله
'Sesungguhnya seluruh kemaksiatan bermula daripada perbuatan mendahulukan hawa nafsu daripada kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.'

# Hawa nafsu perlu ditundukkan, namun prosesnya memakan masa yang lama, berterusan dan memerlukan pertolongan daripada Allah SWT. 

Hanya mereka yang diberi rahmat sahaja terselamat daripada kejahatan hawa nafsu. 

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ وَالأَعْمَالِ وَالأَهْوَاءِ
Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kemungkaran akhlak, amalan dan hawa nafsu.

=============================

Dosa berangan-angan nak buat perkara jahat 

Orang yang berniat untuk melakukan sesuatu keburukan namun dia tidak melakukannya, maka dia mendapat pahala.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda ;

وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

'Barangsiapa yang berniat untuk melakukan sesuatu kejahatan namun dia tidak melakukannya maka Allah akan menulis baginya satu kebaikan yang sempurna dan barangsiapa yang berniat untuk melakukan sesuatu keburukan lalu melakukannya maka Allah hanya akan menulis baginya akan satu keburukan.'

[HR. Al-Bukhari dan Muslim] 

Manakala dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda ;

إن الله تجاوز عن أمتي ما حدثت به أنفسها ما لم تعمل أو تتكلم
 
'Sesungguhnya Allah memaafkan umatku ke atas apa yang terlintas di dalam dirinya selama dia tidak melakukannya atau bercakap tentangnya.' 

[HR. Al-Bukhari dan Muslim] 

# Semua ini menunjukkan rahmat Allah ke atas hamba-hamba-Nya dengan menyempitkan jalan-jalan dosa dan memudahkan jalan-jalan kebaikan dan pahala!

Duka


D.U.K.A

Tulisan sifatnya sangat tajam. Menusuk. Apabila menulis, air mata dan sendu yang disimpan keluar laju.

Susah mahu menyingkirkan duka ini. Betapa susah mahu memujuk diri untuk meyakini dengan bulat Tuhan sentiasa ada disisi ku. Tuhan, aku sangat lemah. Imanku rapuh. Tuhan, berikan kepadaku kekuatan untuk hadapi kesusahan ini.

Tulisan selalu menjadi ganti tempat berkongsi rasa. Sangat berguna untuk diri yang keseorangan. Terasing.

Ramadhan hadir sebagai peluang dan kesempatan untukku. Mampukah aku merebutnya?

T__T











Ejen Sah Serum Muka Ardini Essentials

Bismillahirrahmaanirrahiiim

 ~Assalamua'alaikum warahmatullah~

Seminar MB 2000

Pada 2 April 2016 yang lalu, saya menyertai satu seminar bisnes. Seminar bisnes ini antara perkara yang tak pernah saya fikir saya akan sertai, tambahan pula dengan yuran RM 120 bagi seorang.

Memang murah sahaja yurannya berbanding dengan jurulatih bisnes lain yang mengenakan yuran berkali ganda mahalnya. 

Saya bersyukur kerana dengan secara tak sengaja saya terlihat post Sifu Faisal Abdullah di Page Nasihat Niaga. Saya mengikuti dan follow fb itu untuk tempoh yang lama sebelum membuat keputusan menyertai MB 2000. 

Apa-apa pun, saya rasakan pelaburan RM120 yang dibuat adalah berbaloi-baloi!

Ingin tahu kenapa?

Kerana dalam seminar tersebut yang bermula awal pagi hingga lewat malam ini mengajar saya pelbagai step dan tunjuk untuk memulakan perniagaan. Semasa menyertai seminar ini, saya masih mencari-mencari bisnes yang terbaik untuk saya jalankan, walaupun pada masa itu saya juga adalah seorang Tone Exceller.

Serum Muka Ardini Essentials

Pada program ini, saya diperkenalkan dengan satu peluang bisnes yang best dengan produk yang best dan dengan team sokongan yang best.

Setelah mendengar penjelasan dan yakin dengan kekuatan produk ini, saya mengambil langkah untuk mendaftar sebagai Ejen Sah Serum Muka Ardini Essentials.


WOW!

Memang satu langkah yang berbeza yang saya ambil. Saya tidak minat pun produk kecantikan. Saya sendiri lebih suka bersahaja tanpa mekap dan tidaklah teliti dalam bab penjagaan wajah.

Tetapi produk ini mempunyai tarikan tersendiri, ianya adalah STAND ALONE. Tidak perlu dipakai bersama itu dan ini. Hanya basuh muka dan lap kering muka dengan tuala, kemudian tepek-tepek nipis serum muka, dan kemudiannya tidurrrr. 

Serum muka Ardini Essentials juga adalah bebas bahan kimia! Saya bertambah suka!

Jerawatku Kecut

Permulaan sebelum menjual produk ini, saya mestilah pakai terlebih dahulu. Testimoni diri sendiri adalah yang paling terbaik! Beberapa hari saya pakai, jerawat yang bertimbun-timbun di wajah saya mulai surut. Wah! Saya excited hinggakan saya berjaya menjual 1 katon dalam masa beberapa hari sahaja.

Sekarang sudah hampir sebulan saya menggunakan Serum Muka Ardini Essentials ini, alhamdulillah yang tinggal adalah parut jerawat yang hitam kemerahan. Saya yakin, insyaAllah, parut ini juga akan pudar!




Terima Kasih

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih pada sahabat-sahabat yang menyokong saya dalam menjalankan bisnes ini. Terima kasih kerana percayakan saya. 

Untuk mendapatkan maklumat tentang produk ini, boleh lah berkunjung ke fanpage Serum Muka Ardini Essentials - Kelantan dan juga facebook personal saya, Sufiana Mohamed Ghani.

Terima kasih lagi sekali dan doakan kejayaan saya dunia dan akhirat!

Hadiah Bermakna

Motivasi

Alhamdulillah, hari Jumaat 2 Jamadilakhir 1437 bersamaan 11 Mac 2016 saya mendapat satu pengajaran bermakna.

Sewaktu sedang bermesyuarat Nisa' Book Cafe bersama Kakanda YB Senator Khairiah, beliau yang kami panggil dengan nama mesra Kak Elly mengeluarkan cenderamata kenangan dibelinya dari KL untuk dihadiahkan kepada kami. Baik hatinya. Sentiasa ingat pada kami. Ke mana sahaja dia pergi, pasti ada tanda kenangan untuk kami. 

Saya teruja dan tidak sabar 'berebut' untuk memilih ole-ole yang cantik. Tetapi Kak Elly terlebih pantas menyekat dengan berkata kepada saya, "Sufi kena amik yang ini. Kak Elly bagi yang ni kepada Sufi"....

Alaaa...tak cantik bentuk yang ni. I don't like!  Dalam hati saya mengomel! 

Tapi kemudiannya saya rasa terpilih dan istimewa pula di hati Kak Elly, lantas saya membaca positive quote yang tertulis pada ole-ole tersebut. Saya membaca dan saya menjerit-jerit gembira kepada Kak Elly. 

Subhanallah, saya tahu tujuan Kak Elly.
Saya tahu Kak Elly mahu memujuk saya.

Saya ingat, saya memang ingat, saya pernah bagitahu pada Kak Elly, saya rasa terbuang dan tidak diperlukan. 

Kak Elly tidak suka saya gunakan perkataan itu. Dia peluk saya, supaya saya berhenti berkata yang buruk-buruk. Huhu. 

Saya pernah tukar perkataan negatif 'tidak diperlukan di situ', kepada perkataan lebih positif iaitu saya 'diperlukan di tempat lain'. Ternyata Kak Elly suka dengan ayat saya itu.

Dan hari ini, saya semakin sedar. Tidaklah dipinggirkan atau dibuang itu bermakna sesuatu yang tidak baik, mungkin dengan tersingkir dan terbuang ke tempat lain itu lebih baik untuk saya. InsyaAllah. 

Juga saya sedar, tidak semua yang saya suka itu, baik untuk kita, dan tidak semua yang tidak kita sukai itu, tidak baik untuk kita. 

Bersabarlah, bertabahlah. Tidak mengapa bertapa dalam kepompong kerana kelak sinar indah pasti akan muncul kembali.

"Just when the caterpillar thought the world was over, it became a butterfly...."

Bila Muhasabah Mahu Berkesan?


Follow Orang Yang Baik

Di facebook, saya suka follow orang-orang yang baik. Sesiapa pun boleh menjadi friends saya di facebook, tetapi tidak semua friends itu saya follow. 

Kesan follow orang-orang yang baik selalu menyentap 'hati jahat' saya. Wahai hati, bila mahu bermuhasabah dan berubah? Berfikir yang baik, berkata yang baik, berakhlak yang baik, itulah ciri-ciri mukmin. 

Wahai jiwa yang tenang! Masalah sebesar masalah pun akan menjadi kecil, dihadapi dengan tenang, jika jiwa mu itu mutmainnah! 

Dalam menghadapi sedikit ujian hidup ini, sabarlah sejenak. Kawallah perasaan marah mu itu, simpanlah benci itu, besarkan hati yang mengecil itu....nilailah setiap kejadian yang berlaku dengan neraca positif. 

Pujuklah diri sendiri. Tiada sesiapa yang memahami melainkan Allah. 

Gantilah kebiasaan bermuka-muka di facebook dengan menghadap muka mengangkat tangan kepadaNya. Panjangkan sujudmu itu. Tuhan Maha Mendengar doa hambaNya, walaupun dari orang yang hayatnya selalu ingkar. 

Tika masalah terasa terlalu berat dan besar, ingatlah kasih sayang dan rahmat Allah lebih besar dari semua itu. Terima kasih Dr. Bilal Philips dan Mufti Menk yang selalu menyedarkan saya untuk hidup dengan rasa bertuhan.

"The size of your problem is nothing compared to the size of Allah's mercy and love."
-Dr Bilal Philips-

Whether you're worried, stressed or hurting, turn to the Almighty with full conviction. Talk to Him. Ask Him to ease your woes & suffering.
-Mufti Ismail Menk-


~Hidup Adalah Memilih..Memilih Kerana Allah~

29 Februari 2016

Hari ni hari yang penuh dengan dilema. Saya rasa sangat malas bekerja. Saya cuma ingat hari ni saya makan nasi dengan berselera di Basuka. Alhamdullillah, lalu sungguh hingga menambah! 

Hari ni selepas 'bekerja', masa dihabiskan di dalam kereta. Keluar dari ofis, duduk dalam kereta je. Tak tahu nak pulas stereng ke mana. Saya dalam dilema.

Saya tahu saya berperasaan begini kerana hati saya tidak tenang. 

Banyak tempat kereta saya beralih. Memandu lari dari tujuan. Hajat hati mahu tidur di dalam kereta sementara hilang perasaan dilema, tapi tak berjaya. Kemudiannya, dipendekkan cerita, saya selamat sampai di rumah pada pukul 12.30 malam.

Kata Ust Pahrol :

Taubat adalah penawar gelisah yang paling segera. Apabila gelisah menimpa bertaubatlah.
Rasakan semua kegelisahan itu berpunca daripada dosa-dosa.
Justeru, bukan gelisah itu masalahnya, tetapi dosa-dosa mu!

Balik rumah, godek-godek facebook, keluar noti macam ni, sempena 29 Februari 2016. Empat tahun sekali punya tarikh. Subhanallah. 

Keganjilan 29 Februari ini menjadi bukti kebesaran dan kekuasaan Allah. 

Keganjilan perasaan saya kerana lemahnya iman dan pergantungan harapan kepada Allah.

Tuhan....ampuni daku...



~Hidup Adalah Memilih..Memilih Kerana Allah~

BAHAGIA ITU SATU JALAN BUKAN TUJUAN


Pagi itu seorang muda bertemu saya. Wajahnya kacak, perwatakannya amat menyenangkan. Telah agak lama saya mengenalinya. Dia seorang yang petah berceramah. Kemampuannya membaca al-Quran juga baik sekali.
“Ustaz, saya ingin belajar daripada ustaz bagaimana membina kejayaan dalam hidup,” katanya sebaik sahaja memberi salam dan berjabat tangan.
Saya tersenyum.
“Mengapa kepada saya soalan ini ustaz ajukan?” balas saya kehairanan. Sepanjang hidup saya inilah kali pertama saya diajukan soalan yang sedemikian.
“Sebab saya lihat ustaz berjaya.”
Saya ketawa kecil. Senyum dan menepuk bahu ustaz muda di sebelah saya itu. Saya anggap itu doa buat saya.

Bahagia bukan pada Lahiriah
“Jika diukur pada kejayaan yang dinyatakan dalam surah al-Mu’minun, saya masih belum berjaya. Saya masih berusaha untuk berjaya. Solat masih belum khusyuk dan belum terjaga dengan sempurna. Masih banyak amanah yang belum ditunaikan.”
Kali ini dia pula senyum mendengar jawapan saya.
“Yang saya maksudkan ialah kejayaan ukuran lahiriah ustaz. Ukuran orang sekarang; memiliki profesion yang baik, pendapatan yang lumayan, nama yang popular, selebriti lagi,” katanya menjelaskan maksud pertanyaannya sejak awal perbualan kami.
Tanpa diminta beliau terus bercerita tentang kawan-kawan seangkatan dalam kalangan para ustaz muda. Menurutnya, ada antara sahabat-sahabatnya yang berjaya memiliki profesion yang baik, berniaga dengan pendapatan lumayan dan ada juga menjadi selebriti.
Lalu semua itu menimbulkan tanda tanya dalam dirinya, apakah dia juga perlu mempunyai sasaran yang begitu? Apakah itu jalan yang akan membawa kepada kejayaan?
“Oh, kalau begitulah maksud pertanyaan ustaz, tidak dapatlah saya memberi jawapan apalagi panduan. Saya berada di jalur yang berbeza,” jawab saya.
“Jalur yang berbeza? Bagaimana, ustaz?” asaknya lagi.

Demi Tanggungjawab dan Keperluan
“Saya tidak punya sasaran yang khusus seperti itu. Saya hanya menjalani hidup sekadar mahu bertanggungjawab dan mengikut keperluan yang mendatang,” jawab saya.
“Berilah saya panduan.”
“Saya tidak ada panduan. Mungkin sekadar perkongsian, bolehlah.”
“Itu pun sudah memadai,” ujarnya.
“Saya yakin rezeki Allah akan kurniakan berdasar keinginan kita untuk bertanggungjawab,” akhirnya saya bersuara.
Dia diam, mungkin memikirkan kata-kata saya.
Saya menyambung, “begitu juga karier saya. Pada saya semua itu berkembang mengikut sejauh mana kita ingin bertanggungjawab kepada keluarga, organisasi atau masyarakat.”
“Maksud ustaz, ustaz tidak punya sasaran khusus?”
“Maksud sasaran itu, bagaimana?” tanya saya kembali minta penjelasan. Saya masih belum faham apa yang dimaksudkannya dengan sasaran.
“Misalnya bila sasaran ustaz nak berkahwin dahulu? Bila pula hendak membeli kereta, rumah dan mengerjakan haji?”
Wah, itu rupanya yang dimaksudkan dengan sasaran. Kata-katanya mengingatkan kembali kepada kursus yang pernah saya lalui dahulu. Satu program yang memperincikan bagaimana menetapkan sasaran, jangka masa dan cara mencapainya dalam pelbagai bidang kehidupan.
“Kalau kita sudah merangka dan menetapkan sasaran yang jelas, tepat dan berjangka masa seperti yang selalu diajar oleh pakar-pakar motivasi, itu memang terbaik. Ditambah pula ada pelan tindak jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang, itu lebih proaktif. Semua itu tidak salah, malah sangat baik.
Tetapi ditakdirkan hidup saya penuh “tribulasi” dan macam-macam insiden yang tidak dipinta dan dijangka telah berlaku. Habis semua perancangan yang saya buat tunggang langgang dibuatnya.”
Tanpa saya ceritakan lebih lanjut, dia mengangguk. Dia kenal saya sejak lama.

“Habis ustaz menjalani hidup hanya berdasarkan rasa ingin bertanggungjawab?”
“Ya,” jawab saya. Pasti dan pendek.
“Apabila saya mula bernikah saya rasakan perlu rumah sewa untuk kami suami isteri, jadi saya cari tambahan rezeki untuk membayar sewa rumah. Setelah anak demi anak dilahirkan, saya perlukan kereta, jadi saya berusaha lebih gigih untuk dapatkan kereta. Macam-macam yang saya buat untuk menambah pendapatan. Akhirnya dapat juga saya membeli kereta.
Bertahun-tahun kemudian, rumah sewa jadi semakin sempit. Saya perlu mempunyai rumah sendiri, lalu saya pun mula mengumpul wang, berjimat dan berusaha menambah pendapatan lagi. Akhirnya, saya dapat memiliki sebuah rumah. Begitulah rentetan hidup saya lebih kurang.”

Hidup suatu Perkongsian bukan Persaingan
“Lambat atau cepat perjalanan ustaz tu?”
“Entahlah. Saya tidak membandingkannya dengan orang lain. Bagi saya biasa-biasa sahaja. Ada kalanya terasa laju, ada kala perlahan. Saya cuba mengawalnya. Ada kalanya saya berjaya, alhamdulillah. Ada kalanya gagal, saya pasrah sahaja.”
Saya masih ingat lagi pesanan seorang ulama yang sangat saya hormati suatu ketika dulu. Katanya, “Dalam hidup amalkan doa ini, ‘Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri. Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah untukku urusanku semuanya dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.’ Amalkan doa ini, insya-Allah hidupmu akan terpandu.”
“Mengapa tidak cuba bandingkan dengan pencapaian orang lain?”
“Saya tidak melihat hidup ini sebagai satu pertandingan tetapi lebih kepada satu perkongsian.”
“Biarlah jika ada yang memburu di hadapan, saya akan mengutip apa yang tertinggal di belakang,” kata saya lagi.
“Ustaz gembira hanya dengan mendapat sisa?”
Saya senyum. Ustaz muda ini cuba menguji saya agaknya. Apa yang ditanyanya, saya yakin telah sedia dimakluminya.
“Dalam hidup, yang menjadikan kita bahagia bukan memburu apa yang masih tiada tetapi bersyukur dengan apa yang telah kita ada. Ramai yang tidak bahagia, walaupun telah banyak memiliki kerana terlalu sibuk memburu apa yang belum dimiliki!” kata saya, melayan pertanyaannya.
“Jadi, ustaz masih tidak percaya yang hidup ini satu pertandingan, satu persaingan?”
“Mana mungkin wujud pertandingan kerana jalur bahagia kita berbeza.”
“Jalur bahagia yang berbeza?”
Saya menepuk bahunya sekali lagi lalu saya mara lebih dekat kepada dirinya. Lalu saya sampaikan satu tamsilan.
“Ingat lorong-lorong ketika berlumba lari sewaktu di sekolah dahulu? Setiap pelari ada lorongnya masih-masing. Begitulah juga dalam kehidupan, setiap kita ada lorongnya masing-masing. Maka berlarilah di lorong kita tanpa memikirkan lorong orang lain.”
“Tetapi masih berlumba kan ustaz? Cuma berlari di lorong masing-masing.”
“Ya, masih bertanding. Masih berlumba! Tetapi berlumba untuk melakukan kebaikan dan kebajikan. Bukan bertanding merebut kebendaan dan kebanggaan.”

Jalur Bahagia Kita Berbeza
Sebelum sempat dia memberi respons, saya berkata lagi, “atau umpama tumbuhan yang berlainan spesies. Masing-masing tumbuh mengikut kadar yang berbeza. Misalnya, jangan dibandingkan pokok Mangga dengan pokok buluh cina (Chinese Bamboo)….”
Dia merenung muka saya. Saya menyambung, “dalam jangka masa lima tahun selepas ditanam, pokok mangga akan tumbuh, berbatang, berdahan dan mungkin sudah boleh berbuah. Tetapi dalam jangka masa yang sama pokok buluh cina masih tidak punya apa-apa perkembangan. Seolah-olah tidak membesar. Tetapi pada tahun ke-5 pokok buluh cina akan  mula tumbuh dengan kadar yang sangat cepat sehingga mampu menjangkau ketinggian 90 kaki!”
“Maksud ustaz, kehidupan kita akan berkembang dan meningkat dalam kadar yang berbeza dengan orang lain? Dan oleh sebab itu sikap membandingkan kecapaian kita dengan orang lain adalah tidak tepat.”
“Begitulah yang saya rasa. Mungkin prinsip itu hanya sesuai untuk diri saya. Tetapi mungkin berbeza buat orang lain.”
Saya masih ingat beberapa tahun yang lalu seorang sahabat rapat meluahkan rasa hatinya. Dia rasa hidupnya sangat jauh ketinggalan berbanding bekas rakan-rakan satu pengajian di universiti dulu.
Dengan nada hampir mengeluh sahabat saya itu berkata, “mereka sering melancong ke luar negara. Menikmati pemandangan yang indah, makanan yang lazat-lazat, ziarah tempat-tempat bersejarah, tetapi aku masih di sini. Tidak ke mana-mana.”
“Sahabat,” pujuk saya, “jalur bahagia kita berbeza. Mungkin mereka bahagia dengan melancong ke luar negara dan makan makanan yang beraneka rupa. Tetapi bahagia kita mungkin cukup di sini, di rumah atau di negara sendiri.
Mungkin kita cukup berselera hanya dengan sambal tumis bilis, sambal belacan dan ulam ala kadar. Sahabat, yang penting hati yang syukur. Jiwa yang reda. Walau di mana dan pada keadaan mana pun kita berada tanpa kesyukuran dan keredaan, hidup kita tidak akan bahagia.”

Jalan Bahagia
Saya mengingatkan diri sendiri dan dirinya bahawa bahagia itu tidak Allah letakkan pada harta, rupa, nama dan kuasa. Justeru tidak semua manusia boleh mencapainya. Hanya sedikit dalam kalangan manusia yang hartawan, rupawan, bangsawan dan negarawan.
Yang lebih ramai ialah yang miskin, marhaen, hodoh, dan tidak berpangkat. Allah Maha Adil, tidak meletakkan kebahagiaan pada harta, kuasa dan lain-lain. Tetapi meletakkannya pada hati yang tenang. Hati yang boleh dimiliki oleh yang kaya dan miskin, yang bangsawan dan marhaen, yang hodoh dan yang cantik.”
“Apa nasihat ustaz?” tanyanya lagi.
“Jangan membandingkan diri kita dengan orang lain. Nanti kita akan jadi lebih tidak bahagia. Setiap orang ada jalur bahagianya tersendiri. Bahagialah dengan diri kita dan apa-apa yang kita ada. Jangan hasad dengki, jangan rasa hina diri, jangan benci kepada orang yang kelihatan lebih bahagia daripada kita. Allah Maha Adil. Yakinlah kita ada jalur bahagia kita sendiri dan kita layak menikmatinya.”
“Bagaimana ustaz membina karier?” kilasnya tiba-tiba.
“Karier saya terbina atas keinginan saya untuk berdakwah,” jawab saya.
“Ustaz tidak ada cita-cita untuk jadi pendakwah atau ustaz selebriti?” usiknya.
Saya menggeleng-gelengkan kepala. Sebagai seorang yang introvert, saya lebih gemar bersendirian berbanding berada di tengah-tengah ramai. Namun, sebagai Muslim kita diperintahkan untuk berdakwah walau apa pun sifat semula jadi kita. Justeru, saya gagahi juga bertemu manusia. Pada mulanya untuk belajar, kemudian sedikit demi sedikit mula menyampaikan.
“Ustaz memang bercita-cita untuk jadi penulis sejak dulu?” tanyanya.
“Tidak. Saya bermula dengan menulis untuk menyampaikan mesej dakwah dalam usaha memperbaiki diri dan mengingatkan orang lain. Mula-mula hanya melalui surat biasa. Kemudian jadi risalah. Lama-kelamaan jadi sebuah artikel. Dan beberapa tahun kemudian muncul menjadi sebuah buku, sebuah lagi, sebuah lagi dan begitulah sehingga kini. Saya tidak ada sasaran untuk menulis berapa banyak buku, tetapi saya akan menulis apabila ada keperluan dan kemampuan untuk menyampaikan.”
“Menulis untuk melaksanakan tanggungjawab?”
Saya diam. Daripada bahasa tubuhnya, saya yakin dia faham.
“Lalu ustaz bagaimana? Ingin jadi ustaz selebriti, ingin jadi PU, IM dan seumpamanya?” Giliran saya mula menyoalnya.
Dia merenung jauh. Menggeleng tidak. Mengangguk pun tidak.
“Insya-Allah, semua semakin jelas buat saya.”
“Jelas bagaimana?”
“Saya juga ada jalur bahagia saya sendiri,” jawabnya dengan pasti.
Saya senyum lalu berkata, “ustaz sudah bahagia sekarang!”
“Mengapa?”
“Kerana ustaz telah menemui jalannya.”
“Mengapa?”
“…kerana tidak ada jalan menuju bahagia, sebab bahagia itu sendiri ialah jalannya!” jawab saya tersenyum.
“Ustaz bahagia kerana telah menemui jalannya!”

SuFi : Disalin dari blog pendakwah yang menulis dari hati untuk menyentuh hati kita semua. Sebagai peringatan khusus kepada saya dan untuk memujuk diri menjadi hamba yang bersyukur, saya copy dan paste di blog saya.
Kunjungi Website Ust Pahrol Mohamad Juoi di http://genta-rasa.com/

JUARA CARTA MANUSIA YANG PALING DAHSYAT DIAZAB

JUARA CARTA MANUSIA YANG PALING DAHSYAT DIAZAB

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Khamis (al-Ma’idah [5:114-115]) pada 10 Disember 2015. Antara isunya adalah 3 kumpulan manusia yang paling teruk diseksa Allah di dunia dan di akhirat.

Siapakah manusia jahat yang paling dahsyat azabnya di akhirat kelak? Marilah kita lihat apa kata Abdullah ibn ‘Amru RA:

إن أشدّ الناس عذابًا ثلاثة: المنافقون، ومن كفر من أصحاب المائدة، وآل فرعون

Ertinya: 3 kumpulan manusia yang paling dahsyat diazab Allah adalah (1) orang munafiq, (2) pengikut nabi Isa yang kufur selepas turunnya hidangan langit dan (3) para pengikut serta keluarga Fir’awn (Tafsir al-Tabari).

Mereka ini menduduki tangga teratas carta azab Allah kerana jenayah keji yang bersebati dengan mereka. Al-Quran memperincikan tabiat mereka agar tidak menjadi anutan apatah lagi ikutan kita:

1) Orang Munafiq: 

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah dari (lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka (al-Nisa’[4:145]).

Munafiq ada 2 jenis, iaitu munafiq asli dan muslim yang terpalit “tahi munafiq.” Keduanya bahaya dan wajib dijauhi sejauh mungkin. Tahi munafiq yang boleh terpalit pada muslim banyak kali disebut Rasulullah SAW, antaranya:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Ertinya: Tanda sifat munafiq itu ada 3, apabila berbicara (mudah) menipu, apabila berjanji senang dilanggar dan apabila diberi amanah senang mengkhianatinya (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Manakala Munafiq asli pula adalah pendendam yang sangat membenci Islam seperti Abdullah bin Ubay bin Salul. Pantang lepa peluang, pasti ada binaan Islam yang dipahat biar runtuh. Pasti ada orang Islam yang merana dianiaya mereka. Perjuangan mereka hanya satu iaitu memusnahkan Islam. Banyak sekali celaan Allah pada mereka, antaranya:

الَّذِينَ يَتَرَبَّصُونَ بِكُمْ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ فَتْحٌ مِنَ اللَّهِ قَالُوا أَلَمْ نَكُنْ مَعَكُمْ وَإِنْ كَانَ لِلْكَافِرِينَ نَصِيبٌ قَالُوا أَلَمْ نَسْتَحْوِذْ عَلَيْكُمْ وَنَمْنَعْكُمْ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

Ertinya: (Mereka yang munafik itu ialah) orang yang sentiasa menunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): "Bukankah kami turut berjuang bersama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang)". Dan jika orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang kafir itu): "Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?" Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk membinasakan orang yang beriman (al-Nisa’ [4:141]).

Mereka ini sebenar KAFIR pada penilaian Allah dan jauh lebih bahaya dari orang kafir yang zahir di depan mata. Maka patut sekali mereka menempati dasar neraka bersama Iblis di akhirat kelak.

2) Pengikut dan keluarga Fir’awn:

النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آَلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ

Ertinya: Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!" (Ghafir [40:46]).

Fir’awn memang jahat, namun dia seorang diri tidak mampu “mengkeronyok” Bani Isra’il tanpa sokongan para pengikutnya dari bangsa Qibti Mesir. Entah sudah berapa ramai bayi Bani Isra’il disembelih mereka sejak Fir’awn mengeluarkan arahan bunuh. Bahkan arahan bunuh bayi Bani Isra’il turut diapikan mereka:

وَقَالَ الْمَلَأُ مِنْ قَوْمِ فِرْعَوْنَ أَتَذَرُ مُوسَى وَقَوْمَهُ لِيُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَيَذَرَكَ وَآَلِهَتَكَ قَالَ سَنُقَتِّلُ أَبْنَاءَهُمْ وَنَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ وَإِنَّا فَوْقَهُمْ قَاهِرُونَ

Ertinya: Dan berkatalah pula para ketua dari kaum Firaun: "Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa yang dipuja olehmu?" Firaun menjawab: "Kita akan membunuh anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anakanak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka" (al-A’raf[7:127]).

Memang patut mereka diazab pedih semenjak melangkah ke alam barzakh lagi sebagaimana ayat 40 surah Ghafir di atas. Kejahatan dan kezaliman mereka memang tiada tara.

3) Pengikut nabi Isa AS yang meni’mati hidangan langit:

قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا أَنْزِلْ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِنَ السَّمَاءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِأَوَّلِنَا وَآَخِرِنَا وَآَيَةً مِنْكَ وَارْزُقْنَا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ (114) قَالَ اللَّهُ إِنِّي مُنَزِّلُهَا عَلَيْكُمْ فَمَنْ يَكْفُرْ بَعْدُ مِنْكُمْ فَإِنِّي أُعَذِّبُهُ عَذَابًا لَا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِنَ الْعَالَمِينَ (115)

Ertinya: Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki". Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, KEMUDIAN SESIAPA DI ANTARA KAMU KUFUR INGKAR SESUDAH (TURUNNYA HIDANGAN ITU), MAKA SESUNGGUHNYA AKU AKAN MENYEKSANYA DENGAN AZAB SENGSARA YANG TIDAK PERNAH AKU SEKSAKAN SESEORANG PUN DARI SEKALIAN MAKHLUK" (al-Ma’idah [5:114-115]).

Mendapat hidangan langit bukan calang-calang ni’mat. Bukan semua berpeluang mendapat ni’mat sebegini. Harganya sangat mahal dan memerlukan keteguhan iman yang konsisten. Jika ada yang masih meragui kerasulan nabi Isa AS selepas mendapat ni’mat ini, selayaknya dia diazab Allah dengan azab yang paling dahsyat. Menurut para ulama Tafsir, golongan engkar dari umat nabi Isa AS selepas mendapat hidangan langit disumpah menjadi kera dan babi (Tafsir al-Tabari).

Kisah mereka bukan sekadar cerita penghias lembaran al-Quran tetapi menuntut kita agar belajar dari kesilapan mereka. Sikap mereka seumpama “penyakit kronik jiwa” yang boleh menyambar sesiapa sahaja pada setiap zaman. Oleh itu, umat Islam wajib memiliki “UBAT ILMU DAN ANTIBODI IMAN” bagi menangkis serangan virus rohani seperti yang pernah mereka hidapi. Jika begini cara kita dalam berinteraksi dengan kisah al-Quran, barulah al-Quran menjadi ubat jiwa yang mujarab menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat walaupun tanpa memakan produk murahan yang kononnya sudah “DITAHFIZKAN DENGAN 30 JUZUK AL-QURAN.” 

 * Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Rumahtangga & Cinta, Perceraian dan Benci


1. Apa yang menjadi pemangkin kepada keutuhan rumahtangga selain cinta ialah 'sikap' dan 'kekuatan dalaman' suami dan isteri yang terbentuk sejak sebelum bernikah. 

Saya ulangi, tumbesarannya sejak sebelum bernikah!

a) Isteri yang dibesarkan oleh ibubapa sebagai anak gadis yang tidak 'dimanjakan' secara salah, terbiasa hidup sukar atau kuat peribadinya, rajin bekerja dan bersedia untuk taat dan mengikuti ibubapanya walau apa jua keadaan, akan menyambung 'sikap' tersebut apabila menjadi seorang isteri. 

Dia akan ikut sahaja suaminya, hidup mati, tenggelam dan timbul bersama suami. 

b) Manakala suami yang membesar sebagai lelaki yang bertanggungjawab, dididik oleh ibubapa sebagai anak yang terbiasa menolong ibubapa, memikul tanggungjawab, berdikari atau bekerja keras akan terbiasa menjadi seorang suami yang baik apabila bernikah. 

Lelaki seperti ini akan menjadi suami penyayang, tidak menggunakan kekerasan, memahami dan boleh diharap untuk menjadi tempat pergantungan isteri. 

Kerana itu disebut dalam sebuah hadith ;

لَا حَلِيمَ إِلَّا ذُو عَثْرَةٍ وَلَا حَكِيمَ إِلَّا ذُو تَجْرِبَةٍ
'Tiada yang memiliki ketabahan atau kebaikan peribadi kecuali seseorang yang telah mengalami ujian dan tiada yang memiliki kebijaksanaan kecuali orang yang telah memiliki pengalaman.' 

[Riwayat al-Bukhari di dalam Al-Adab al-Mufrad, Al-Tirmidzi dan Ibn Hibban] 

2. Perceraian berlaku kerana banyak sebab, ada yang kerana faktor kewangan, suami dan isteri tiada persefahaman, ada yang kerana sikap tidak bertanggungjawab pasangan atau disebabkan kerana ujian dan gangguan pihak luar. 

a) Perceraian ialah takdir, namun sebelum menyalahkan takdir kebanyakan pasangan bercerai ialah kerana 'TIDAK SABAR' dan kesabaran ialah faktor dalaman bukan luaran. Tidak sabar hidup susah, tidak sabar dengan kerenah, tidak sabar dengan itu dan ini. 

Bagi yang sabar, boleh sahaja meneruskan hidup rumahtangga. Bagi yang tidak sabar maka perceraian ialah jalan keluar. 

Musuh sabar ialah marah (اَلْغَضَبُ), kerananya manusia bermusuh dan bercerai-berai. Islam menyuruh kita mengawal marah, kerana ianya nafsu dan sifat yang tidak baik. 

Diriwayatkan ada hadith menyebut ;
لاَ تَغْضَبْ وَلَكَ الْجَنَّةُ.
'Jangan kamu marah maka bagimu syurga.' 

[Riwayat al-Tabarani]

b) Keputusan dibuat ketika keadaan tidak tenang. Ramai pihak, apabila bergaduh dan berselisih suka mengambil jalan pintas, cepat dan tergopoh-gapah dalam membuat keputusan. 

Allah SWT berfirman;
وَكَانَ الْإِنْسَانُ عَجُولًا
"Dan manusia bersifat tergesa-gesa." (al-Isra:11)

Islam tidak mengajar kita terus melompat kepada perceraian dalam mencari penyelesaian kepada kedua-dua belah pihak. Cuba perhatikan dalam al-Quran, mula-mula disuruh pisahkan tempat tidur, memukul jika perlu, mencari hakim dari kedua-dua belah pihak dan barulah berpisah jika tiada jalan damai. 

Kemudian perhatikan, selepas bercerai ada tempoh eddah supaya masing-masing dapat rujuk kembali jika perselisihan sudah pulih. 

3. Cinta dan benci silih berganti dalam hidup ini, bagaikan iman yang turun naik dan setiap manusia tidak dapat menjamin kebahagiaan hidupnya sendiri. Namun kita boleh berusaha untuk bahagia dengan menguatkan faktor dalaman yang menjadi tanggungjawab kita untuk membersihkannya. 

Iaitu faktor hati. 

Ya semuanya soal hati!

Sabda Rasulullah salallahualaihiwassalam ;
ألا إن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله, ألا وهي القلب
'Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad ini ada segumpal daging, apabila ia (segumpal daging) baik, maka baiklah seluruh jasadnya, dan apabila ia (segumpal daging) buruk, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah, segumpal daging tersebut adalah hati....'

[Riwayat al-Bukhari]

SuFi : Artikel disalin dari facebook Ustaz Emran Ahmad. Enjoy it!

Ramadhan Pergi

Malam 3 Syawal, saya mula merindui tarbiyyah Ramadhan. Begitu terasa, bersendirian jauh lebih mendamaikan berbanding berada di kelompok ramai. Beribadah dalam kesenyapan mendatangkan lebih 'rasa' berbanding dalam hiruk pikuk bising di rumah. Begitupun, hidup di dunia perlu bersalingan. Menjadi tuntutan Islam membina hubungan kekeluargaan dan persaudaraan Islamiah.

Hampir 300 keping gambar-gambar suasana raya saya snap sepanjang 2 hari beraya bersama keluarga, sanak saudara juga teman. Saya melantik diri sendiri sebagai jurugambar keluarga, dari dulu lagi. Suasana riang ria dan gelak tawa saya suka shoot untuk koleksi peribadi. Ternyata, melihat gambar ceria mampu mengubat beribu duka bersarang di hati.

Malam ini, saya terkenang jika kematian menjemput saya. Ahli keluarga yang ramai takkan menemani saya di dalam kubur. Bahkan, ketika menanam jasad saya di kubur, ahli keluarga terdekat juga yang dengan bersungguh-sungguh menimbus-nimbus tanah di atas keranda yang di dalamnya ada jasad saya. Sehinggalah tanah-tanah kemas dan kejap, seakan-akan tidak mahu saya keluar kembali. Begitulah hidup selepas mati. Bersendirian. Semua ahli keluarga, sanak saudara dan teman akan pulang kembali meneruskan kehidupan.

Tiada yang mengikuti saya kecuali 3 perkara, sedeqah jariah, anak soleh dan ilmu yang bermanfaat.
Begini rasanya kesunyian tanpa 'teman' berkongsi suka duka. Ia menimbulkan sekok di dada. Malam ni ditaqdirkan sakit menyinggah. Baru seketika saya berfikir kenapa sakit gastrik menjengah, saya biarkan perut kosong terlalu lama, hampir 8 jam, dan malang sekali dalam tempoh itu saya meneguk segelas air sunquick tropicana.

Tentang apa sahaja cerita diri, bercerita kepada manusia lain pasti tidak akan mereka fahami isi hati kita sepenuhnya melainkan Tuhan Rabbul Jalil. Begitulah Tuhan menjadikan kita supaya tidak terlalu bergantung kepada manusia, melainkan membulatkan harapan dan tawakkal kepadaNya. Adapun begitu,meluah dan menangis di bahu orang kepercayaan, juga ubat berkesan merawat sakit di jiwa walaupun mereka tidak mampu memberikan solusi dan hanya sekadar memberi reaksi perasaan sedih yang sepunya.

"Tuhan, jadikanku teman terbaik kepada ahli keluarga, dan sahabat-sahabat. Semoga dengan sedikit kebaikanku itu, mampu membahagiakan mereka dan sesungguhnya kebahagiaan mereka adalah kebahagiaanku. Amiin."

Malam ini, saya mendoakan sakit yang sedikit ini segera berlalu pergi. Saya juga sangat mengharapkan doa daripada orang-orang yang ikhlas mendoakan kesejahteraan saya, dunia dan akhirat. Jika sakit berpanjangan, semoga sakit ini menjadi kaffarah dosa-dosa saya. Jika sihat, semoga saya syukuri dan balas dengan ibadah ikhlas yang istiqamah. Allahumma amiin.

"Tuhan, berikan aku taufiq dan hidayah untuk terus beramal ibadah kepadaMu, dan kurniakan kepadaku keikhlasan dan kekhusyukan dalam melakukannya."

~Hidup Adalah Memilih...Memilih Kerana Allah~

ShareThis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post

Slider

Popular Posts

Travel

Cute

My Place

Videos

Contact Form

Name

Email *

Message *

Categories